Pages

Friday, May 7, 2010

TUPANG & PENYANGGA

Tupang

TAKRIF TUPANG :

Tupang adalah binaan sementara dan digunakan semasa menyokong struktur yang kurang selamat sehingga ianya diteguhkan atau selamat untuk digunakan.

TUJUAN PEMBINAAN TUPANG :

Mencegah dinding-dinding (tembok) yang merbahaya daripada meretak atau menambah tanda-tanda yang menunjukkan keruntuhan.

Apabila terdapat kegagalan pada dinding atau tembok, nyatalah struktur telah menerima beban atau tujahan yang berlebihan dan tidak dapat menahannya lagi.

Oleh yang demikian, suatu penyokong diperlukan dan tupang hendaklah disediakan untuk mengukuhkan struktur tersebut.

JENIS-JENIS TUPANG :

Jenis-jenis tupang adalah seperti berikut :

· Tupang sadak (inclined support)

· Tupang ufuk (horizontal support)

· Tupang pugak atau tupang mati (vertical or dead support)

TUPANG SADAK :

Mengandungi kepingan kayu yang ditempatkan dalam keadaan condong dengan satu hujung bersandar pada permukaan dinding yang rosak dan hujung yang satu lagi di atas tanah.

Sudut yang mudah dan baik untuk kegunaan praktikal ialah 60° yang boleh diubah-ubah kepada 75°.

Ianya didirikan dalam rangka-rangka atau sistem dan bertujuan untuk menahan dinding runtuh keluar.

Ianya tidak digunakan untuk member sokongan tepat kepada mana-mana bahagian struktur.

Hujung sebelah bawah tupang ini disokong dengan pengalas condong yang tertanam teguh di dalam tanah untuk menyebarkan tekanan kepada tanah dengan selamatnya,

Sistem tupang ini boleh dirapatkan lagi dengan penebat-penebat yang dipaku pada sebelah tepinya.

Ini memberikan lagi keteguhan sisian kepada tupang-tupang dan mengikatnya sekali kepada satu rangka yang bersatu.

TUPANG UFUK :

Digunakan untuk menyokong dua tembok yang bertentangan apabila salah satu atau kedua-duanya menunjukkan tanda-tanda kerosakan.

Jarak maksimum yang boleh disokong oleh tupang ini adalah lebih kurang 10-12 meter. Bagi jarak yang lebih dari ini, tupang ufuk berganda digunakan.

Satu tupang mengandungi sebatang kayu yang dipasangkan antara dua tembok yang hendak disokong dengan hujungnya menyandar pada pendinding yang dipasang kepada dinding tersebut. Ini diteguhkan dengan tupang-tupang condong di atas dan di bawah kepada setiap hujung.

Cara pemasangan tupang ufuk adalah seperti berikut :

1. Kayu penahan (straining piece) mula-mula dipakukan di bahagian atas dan bawah tupang ufuk.

2. Tupang ufuk kemudiannya dipasangkan pada tempatnya (antara dua tembok).

3. Tupang-tupang (perembat) dikenakan satu hujungnya bersandar di atas pendinding dan satu hujung lagi bersetentang dengan kayu penahan tadi.

4. Jejarum dan tetupai akan menahan perembat daripada menggelongsor.

5. Baji digunakan kepada tupang-tupang untuk mendapatkan pemasangan yang kukuh kepada pendinding-pendinding.

6. Semasa pembinaan, garis tengah tupang ufuk sepatutnya bertemu dengan paras lantai bagi kedua-dua bangunan.

7. Sekiranya kekuatan lantai berbeza, kedudukan tupang juga akan turut berbeza.

8. Tupang hendaklah dibina pada paras lantai bangunan yang satu lagi , tupang dibina pada jarak pertengahannya.

TUPANG PUGAK ATAU TUPANG MATI

Sistem tupang pugak ini digunakan apabila sebahagian daripada dinding bangunan dibuka, dinding di bahagian atas hendaklah disokong sementara kerja-kerja pembinaan di bawahnya diteruskan.

Ia juga berfungsi untuk menyokong bangunan di sebelah atas semasa mendalamkan asas bangunan yang sedia ada atau menggantikan asas yang lama dengan asas yang baru yang boleh menerima beban yang lebih besar.

Dalam sistem ini, jejarum dimasukkan melalui dinding-dinding dan disokong oleh tupang-tupang pugak.

Tupang pugak ini hendaklah didirikan pugak di atas pengalas atau pelapik yang mempunyai asas yang padat.

Hendaklah diperhatikan bahawa tupang-tupang yang digunakan adalah cukup kuat untuk menanggung beban binaan dan dapat menyebarkannya sama rata ke tanah. Ini dilakukan dengan menggunakan pelapik yang cukup lebar bagi tanah-tanah yang agak lembut.

Tupang tegak merupakan sebatang tiang dan oleh kerana ia membawa beban yang sangat berat, tupang ini tertakluk kepada tegasan yang besar. Bagi tupang yang tertakluk kepada tegasan yang besar, kegagalan mungkin boleh berlaku. Oleh itu, nisbah yang betul mestilah dipelihara antara panjangnya dan ukuran kelilingnya.

Dalam semua kes, penyokong yang digunakan mestilah mempunyai keratan samada empat segi atau bulat. Keratan segi empat tepat tidak boleh digunakan kerana pembengkokan akan mudah berlaku pada ukuran yang terkecil sekali. Tupang jenis ini dibuka selepas selesai pembinaan yang baru. Seeloknya, tupang ini dibuka selepas 7 hari pembinaan baru itu siap.


PENYANGGA

TAKRIF PENYANGGA :

Penyangga pula adalah sokongan tetap yang akan tinggal ditempatnya apabila kerja-kerja telah siap dilakukan. Pada umumnya,perlu dilakukan kerja-kerja tupang dahulu sebelum kerja-kerja penyanggaan dilakukan.

SEBAB-SEBAB DIPERLUKAN PENYANGGA :

Diperlukan apabila penggenapan berlaku pada sesuatu struktur disebabkan oleh asas yang tidak mencukupi atau rosak. Perkara ini mungkin disebabkan oleh :

a. Akar-akar besar yang bedekatan yang telah merosakkan asas papak

b. Gegaran yang disebabkan jentera-jentera berat yang melalui jalan yang berdekatan dengan struktur.

c. Penyusutan tanah hasil dari kegiatan melombong atau hakisan tanah. Dalam hal ini, rumah-rumah yang berdekatan dengan lombong perlu membuat perlindungan dengan cara tupang bawah.

Jika dalaman untuk korekan yang baru adalah h m, asas yang berada di lingkungan h m atau h m, maka penyangga tidak diperlukan. Asas ini dikatakan dalam kawasan had takat selamat. Asas yang berada dalam lingkungan satah runtuh mengalami keadaan kritikal dan asas-asas tersebut hendaklah disangga.

Pembinaan asas yang dalam berdekatan dengan bangunan yang sedia ada memerlukan tupang dan penyangga. Tupang pugak disediakan pada bangunan yang sedia ada untuk menyokong bahagian bangunan di sebelah atas. Selepas cerucuk tebing dibenamkan sekelilingnya, tanah-tanah digali. Satu alat pengikat disediakan untuk menahan bahagian bawah dinding dan asas. Asas baru kemudian dihamparkan kepada dalam bangunan yang diperlukan dan seterusnya kerja-kerja membata untuk dinding baru didirikan.

0 comments:

Post a Comment